Maklumat Jurnal

Hubungan Persekitaran Tempat Kerja Dengan Komitmen Jururawat Di Hospital Kerajaan

Penulis :
Noralai Ismail
Penyelia :
Prof. Madya. Dr. Norhasni Zainal Abiddin
Institusi :
Universiti Putra Malaysia
Jenis Dokumen :
Masters
Tarikh Isu :

Abstrak :

Fenomena kekurangan jururawat yang dihadapi di dalam sesebuah hospital sememangnya bukan sahaja berlaku di dalam negara kita tetapi turut berlaku di luar negara.

Kekurangan jururawat ini disebabkan oleh banyak faktor seperti penghijrahan jururawat ini ke negara-negara lain yang menawarkan tawaran pendapatan yang lebih besar, kadar jururawat yang pencen tidak seimbang dengan kadar pengambilan jururawat baru dan salah satunya adalah kekurangan jururawat ini yang dikaitkan dengan persekitaran tempat kerja. Persekitaran tempat kerja yang terdiri daripada pelbagai elemen ini dikatakan memberi kesan kepada jururawat ini terutamanya elemen komitmen kerja. Justeru, tujuan penyelidikan ini dijalankan adalah untuk mengenalpasti hubungan antara faktor persekitaran tempat kerja dengan komitmen kerja jururawat di hospital kerajaan terpilih, yang boleh dikaitkan dengan isu kekurangan jururawat ini.

Objektif utama kajian ini adalah mengenalpasti perkaitan di antara faktor persekitaran tempat kerja dengan komitmen kerja dalam kalangan jururawat, mengenalpasti tahap komitmen kerja dalam kalangan jururawat, mengenalpasti hubungan corak pekerjaan dengan komitmen kerja, mengenalpasti hubungan pendapatan dan peluang kenaikan pangkat dengan komitmen kerja, mengenalpasti hubungan penyelia dan penyeliaan dengan komitmen kerja dan mengenalpasti hubungan sokongan rakan sekerja dengan komitmen kerja. Kajian ini dijalankan ke atas 246 orang jururawat terlatih yang bertugas di pelbagai unit di tiga hospital kerajaan. Satu set borang soal selidik digunakan sebagai instrumen kajian.

Pemilihan sampel kajian dilakukan dengan menggunakan persampelan rawak mudah dari setiap hospital yang terlibat. Analisis data telah dilaksanakan dengan menggunakan perisian (SPSS) versi 15.0. Ujian statistik deskriptif seperti frekuensi, peratusan dan min digunakan untuk membuat interpretasi hubungan komitmen kerja dengan faktor persekitaran tempat kerja.. Bagi mengenalpasti hubungan di antara pembolehubah bersandar dengan pembolehubah tidak bersandar, kaedah kolerasi dijalankan.

Hasil kajian mendapati bahawa komitmen kerja dalam kalangan jururawat berada pada tahap sederhana dalam perkaitan dengan pendapatan dan peluang kenaikan pangkat, penyelia dan penyeliaan dan sokongan rakan sekerja manakala bagi tahap tinggi ianya merangkumi corak pekerjaan dan komitmen kerja terhadap organisasi. Secara keseluruhannya, implikasi yang didapati daripada kajian yang dijalankan adalah secara asasnya memberi implikasi kepada dua pihak yang berlainan tetapi saling berkaitan,iaitu organisasi di mana responden berkhidmat dan juga kakitangan. Justeru itu didapati juga, semua responden masih tidak sepenuhnya berpuashati terhadap aspek faktor persekitaran tempat kerja yang mana ianya mempengaruhi komitmen kerja mereka.

Kajian ini mencadangkan amalan kepimpinan dan tahap pengetahuan dalam kalangan penyelia ditingkatkan serta membuka lebih banyak peluang kepada jururawat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dengan pelbagai cara yang bersesuaian dengan corak pekerjaan jururawat dan penyesuaian corak kerja yang dipraktikan di luar negara sekarang ini iaitu kewujudan magnet hospital dengan negara kita.