Maklumat Jurnal

Keimplisitan Ujaran Dalam Hikayat Hang Tuah Dari Sudut Pragmatik

Penulis :
Hussin Sarif
Penyelia :
Dr. Zatul Azma Zainon Hamzah
Institusi :
Universiti Putra Malaysia
Jenis Dokumen :
Phd
Tarikh Isu :

Abstrak :

Keimplisitan ujaran bermaksud percakapan yang maksudnya tidak dinyatakan secara terang-terangan Dalam perbualan banyak ujaran yang tidak menyamai dengan maksud semantiknya.

Hal ini demikian kerana pentafsiran makna ujaran bukan setakat pada tahap semantik tetapi boleh menjangkau pada tahap pragmatik. Pengkaji menggunakan ujaran-ujaran implisit yang terdapat dalam H. H.

T sebagai data kajian. Kajian dilakukan dengan meneroka aspek makna secara lebih khusus iaitu mengenal pasti unsru-unsur implisit, penggunaan unsur implisit dalam menyampaikan mesej dan aspek pemikiran ketika mengujarkan ujaran sedemikian. Pengkaji telah mengaplikasikan teori Relevans oleh Sperber & Wilson (1995) mengambil kira peranan kognitif iaitu melibatkan, konteks, kesan konteks, dan usaha memproses oleh pendengar sebagai kerangka kajian.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa tidak semua ujaran yang dituturkan oleh watak-watak dalam Hikayat Hang Tuah mempunyai makna yang implisit. Namun demikian, ujaran-ujaran yang mempunyai makna implisit menunjukkan bahawa penutur mempunyai mesej tertentu untuk disampaikan kepada pendengar. Makna sebenar ujaran tersebut bergantung kepada peranan kognitif pendengar.

Hakikatnya, maksud sebenar sesuatu ujaran itu tidak semestinya berdasarkan makna perkataan yang digunakan dalam ujaran tersebut semata-mata. Dengan perkataan lain, hanya dengan mengkaji konteks, kesan konteks dan set-set andaian oleh penutur akan menjelaskan maksud sebenar yang dihajati oleh penutur. Oleh yang demikian, makna konteks, dan andaian-andaian menjadi penting sebagai petunjuk ke arah mendapatkan maksud sesuatu ujaran.

Watak-watak dalam H. H. T., juga telah memanipulasikan penggunaan bentuk-bentuk perkataan dan frasa, peribahasa dan metafora tertentu untuk menyampaikan mesejnya, serta mempunyai niat atau tujuan seperti untuk memberitahu, menyampai maklumat, menyindir, dan melahirkan perasaan.

Akhirnya, pengkaji mendapati, beberapa aspek pemikiran orang Melayu dapat di kesan ketika menuturkan ujaran yang implisit. Beberapa ujaran yang dianalisis menunjukkan bahawa masyarakat Melayu dalam K. M.

M amat menekankan konsep seperti taat setia dan tidak menderhaka kepada pemerintah Selain dari itu perasaan malu sebagai sesuatu yang mengaibkan dan sifat bersopan santun dan bertertib adalah sebagai salah satu cara berkomunikasi.