Maklumat Jurnal

Analisis Takmilah Cerpen Pemenang Hadiah Sastera Islam

Penulis :
Shamsuddin Abu Bakar
Penyelia :
Samsina Haji Abdul Rahman, Phd
Institusi :
Universiti Putra Malaysia
Jenis Dokumen :
Masters
Tarikh Isu :

Abstrak :

Cerpen-cerpen berunsur Islam kian meningkat perkembangannya dengan adanya peraduan-peraduan yang dianjurkan di peringkat kebangsaan oleh pelbagai pihak seperti Utusan Zaman dan Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri Malaysia sejak tahun 1970-an hingga kini.

Fenomena ini bertanggungjawab secara langsung melahirkan ramai cerpenis berbakat, dan muncullah banyak koleksi cerpen-cerpen berunsur Islam. Perkembangan kesusasteraan dalam bidang cerpen ini melahirkan penulis-penulis cerpen yang konsisten dengan aliran kesusasteraan Islam. Cerpen-cerpen yang dihasilkan membuktikan betapa nilai-nilai Islam dapat diterap dengan baik dalam bidang kesusasteraan Islam, terutamanya dalam genre cerpen.

Malahan kelahiran cerpen-cerpen seperti ini turut melahirkan beberapa teori sastera Islam, antaranya iaitu Teori Takmilah. Sebelum ini, banyak kajian-kajian kesusasteraan Islam dalam genre puisi yang mengaplikasikan teori ini. Oleh itu, tesis ini cuba memperlihatkan betapa teori yang diasaskan oleh Dr.

Shafie Abu Bakar bersesuaian dengan kajian terhadap cerpen-cerpen yang berunsur Islam. Pengkaji menggunakan teori ini dalam kajian tesis kerana teori ini mampu menganalisis sama ada sesebuah karya itu benar-benar menepati kriteria-kriteria kehendak sastera Islam atau tidak. Sehubungan itu, kajian cerpen-cerpen yang memenuhi tujuh prinsip teori ini mendukung unsur-unsur Islam yang perlu dihayati dalam kehidupan individu Islam.

Tesis ini juga membuktikan berdasarkan pengaplikasian Teori 'Takmilah, bahawa terdapat juga cerpen-cerpen yang diiktiraf dalam Peraduan Mengarang Cerpen Berunsur Islam tetapi masih tidak boleh dianggap sebagai karya yang bertunjangkan sastera Islam. Hasil analisis membuktikan bahawa cerpen-cerpen yang mengaplikasikan ketujuh-tujuh prinsip Teori Takmilah sememangnya merndukung ajaran Tauhid dan ini bersesuaian dengan konsep sastera Islam.