Maklumat Jurnal

Proses Penyelesaian Konflik Melalui Perundingan Sulh

Penulis :
Mohd Fuad Mohd Salleh
Penyelia :
Jamilah Othman, Phd
Institusi :
Universiti Putra Malaysia
Jenis Dokumen :
Phd
Tarikh Isu :

Abstrak :

Konflik adalah fitrah semula jadi dalam kehidupan manusia.

Konflik terjadi apabila satu pihak menghalang, menekan atau memaksa pihak lain yang kemudiannya terasa tergugat dengan tindakan pihak yang pertama. Meskipun konflik boleh diselesaikan oleh pihak-pihak berkonflik namun kerapkali ia memerlukan pihak ketiga untuk menyelesaikannya. Kajian ini bertujuan untuk memahami pengalaman Pegawai Sulh sebagai pihak ketiga dalam menangani konflik suami-isteri Melayu.

Kajian menjawab tiga persoalan berikut: (1) Apakah ciri-ciri utama penyelesaian konflik melalui mediasi dari perspektif Sulh?, (2) Bagaimana Pegawai Sulh memainkan peranan sebagai mediator untuk menyelesaikan konflik suami-isteri? dan (3) Apakah kemahiran tambahan yang diperlukan untuk menyelesaikan konflik selain daripada kemahiran asas kaunseling? Pendekatan kualitatif kajian kes dipilih untuk menyempurnakan dan menjawab persoalan kajian. Pendekatan dan kaedah ini dipilih kerana ia mampu menjawab persoalan kajian yang ingin memahami makna dan pengalaman Pegawai Sulh dalam menangani konflik.

Teknik temubual separa berstruktur digunakan untuk mengumpul data dari lima orang Pegawai Sulh yang menjadi responden kajian yang menceritakan pengalaman mereka mengendalikan perundingan dalam majlis sulh. Data telah dianalisis dengan membina kategori dan tema untuk menjawab persoalan kajian.