Maklumat Jurnal

Proses Pemahaman Teks Akademik Dalam Kalangan Pelajar Universiti

Penulis :
Yahya Othman
Penyelia :
Ghazali Bin Mustapha, Phd
Institusi :
Universiti Putra Malaysia
Jenis Dokumen :
Phd
Tarikh Isu :

Abstrak :

Penyelidikan bertujuan untuk mengkaji dan menyiasat proses pemahaman teks akademik dalam kalangan pelajar universiti.

Untuk tujuan tersebut, pengkaji meneliti perspektif responden terhadap konsep membaca, penggunaan strategi pemahaman teks, respons membaca dan kesukaran memahami teks. Penyelidik menggunakan kaedah kualitatif yang melibatkan 8 responden pelajar yang dipilih dalam kalangan pelajar Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia. Pengkaji menggunakan kaedah temu bual membaca, pemerhatian aktiviti bacaan dan penulisan jurnal membaca sebagai alat pengumpulan data.

Dua buah petikan teks yang sesuai dengan tahap pelajar telah digunakan berdasarkan indeks kebolehbacaan. Dapatan kajian mendapati pernyataan responden berkaitan pemahaman membaca lebih menekankan perspektif kognitif. Ini disebabkan wujud nya keperluan pelajar untuk menguasai teks akademik terutama teks yang berkaitan dengan bidang pengajian.

Dari segi aplikasi strategi pemahaman membaca, responden didapati menggunakan strategi metakognitif, kognitif dan afektif. Walau bagaimanapun, strategi meta kognitif agak terbatas penggunaannya disebabkan kesedaran kendiri responden agak kurang semasa memahami teks. Keadaan ini juga disebabkan oleh faktor kurangnya kesedaran dari segi perancangan, pemantauan dan penilaian semasa membaca.

Sementara itu, penggunaan strategi afektif mendorong responden untuk meneruskan pembacaan .Pernyataan tahap membaca pula menunjukkan responden memiliki tahap membaca yang pelbagai dan banyak dipengaruhi oleh jenis teks yang dibaca. Berdasarkan respons membaca pula, responden banyak memberikan reaksi dari aspek organisasi dan penggunaan bahasa pengarang. Dari segi kesukaran dalam proses pemahaman pula, responden banyak memberikan justifikasi berkaitan tahap kesukaran teks dan hubungan teks dengan bidang pengajian.

Berdasarkan kajian ini, pengkaji membina Inventori Strategi Pemahaman Membaca (ISPEM) yang boleh digunakan untuk mengenal pasti strategi pemahaman terutama yang melibatkan metakognitif.