Maklumat Jurnal

Kemapanan Persatuan Belia Dan Peranan Pemimpin Sebagai Agen Perubahan

Penulis :
Siti Raba'ah Hamzah
Penyelia :
Professor Turiman Suandi, Phd
Institusi :
Universiti Putra Malaysia
Jenis Dokumen :
Masters
Tarikh Isu :

Abstrak :

Kajian ini bertujuan untuk meneroka fenomena peranan pemimpin sebagai agen perubahan dalam konteks kemapanan persatuan belia.

Kajian ini telah dilaksanakan berpandukan kepada dua persoalan kajian iaitu: (1) apakah peranan pemimpin dalam kepemimpinan persatuan yang menyumbang kepada kemapanan persatuan; (2) bagaimanakah bentuk peranan pemimpin sebagai agen perubahan dalam konteks kemapanan persatuan belia. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan data telah diperoleh melalui temu bual secara berkumpulan dan analisis dokumen. Pemimpin-pemimpin yang terlibat dalam kajian ini telah dipilih daripada persatuan belia yang telah menerima Anugerah Belia Negara dan melibatkan pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha, bendahari dan ahli jawatankuasa dalam persatuan yang dipilih.

Temu bual secara berkumpulan merupakan kaedah pengumpulan data utama dan disokong oleh analisis dokumen. Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat enam peranan utama pemimpin sebagai agen perubahan yang dilaksanakan melalui dengan 32 amalan dan tanggungjawab dalam kepemimpinan persatuan belia. Enam peranan utama pemimpin sebagai agen perubahan merangkumi 1) pengurus; 2) pembantu proses; 3) perunding; 4) penggerak; 5) penyelesai masalah; dan 6) penghubung sumber.

Peranan pemimpin sebagai pengurus merujuk kepada kebolehan dalam menyampaikan dan memberi inspirasi kepada ahli tentang visi dan misi organisasi serta memberi panduan untuk bertindak dengan berkesan. Pemimpin sebagai pembantu proses dilihat daripada kecekapan dan kemahiran dalam memimpin ahli dan organisasi untuk mencapai matlamat persatuan. Seterusnya peranan pemimpin sebagai perunding adalah kebolehan untuk bertolak ansur dan menjadi pakar rujuk.

Manakala peranan pemimpin sebagai penggerak pula merujuk kepada keupayaan dan kebolehan mencairkan minda bagi membolehkan ahli bertindak. Sebagai penyelesai masalah, pemimpin mahir dalam membentuk dan melaksanakan sesuatu strategi penyelesaian masalah manakala sebagai penghubung sumber pula mereka menunjuk ajar tentang cara untuk mendapatkan dan menggunakan sumber, di samping menghubungkan persatuan dengan agensi lain.Kajian ini mendapati peranan pemimpin sebagai agen perubahan di kalangan pemimpin persatuan menepati teori yang terdapat dalam literatur. Hasil kajian juga memaparkan tanggungjawab, amalan dan peranan pemimpin sebagai agen perubahan dalam persatuan belia.

Kajian ini mencadangkan agar pemimpin perlu memainkan peranan sebagai agen perubahan bagi menjamin kemapanan persatuan belia.