Maklumat Jurnal

Pemerolehan Dan Penguasaan Sintaksis Bahasa Melayu Di Kalangan Kanak-Kanak Prasekolah

Penulis :
Abdul Rasid Jamian
Penyelia :
Associate Professor Noor Aina Dani, Phd
Institusi :
Universiti Putra Malaysia
Jenis Dokumen :
Phd
Tarikh Isu :

Abstrak :

Bahasa merupakan satu sistem yang unik dan melibatkan proses kognitif.

Bahasa juga merupakan wadah untuk menyampaikan mesej kepada individu lain untuk difahami dan memberi makna. Kanak-kanak berumur antara 1 hingga 5 tahun merupakan tahap penguasaan bahasa yang paling kritikal. Sehubungan itu, kajian ini dapat memberikan maklumat sebenar tentang pemerolehan dan penguasaan sintaksis kanak-kanak khasnya di prasekolah.

Persampelan kajian ini sebanyak 48 kanak-kanak, iaitu 25 kanak-kanak di dalam bandar dan 23 kanak-kanak luar bandar di daerah Ampang, Selangor dan jenis ayat yang dikaji ialah ayat penyata, ayat tanya, ayat seruan dan ayat perintah. Tinjauan perbualan dan transkripsi digunakan dalam kajian ini untuk mendapatkan data bentuk ujaran ayat kanak-kanak prasekolah. Sehubungan itu, hasil kajian menunjukkan ayat penyata ialah jenis ayat yang paling kerap dihasilkan, iaitu 53.8%, diikuti oleh ayat tanya (25.7%), ayat seruan (11.8%), dan ayat perintah (8.7%). Berdasarkan Min Panjang Ujaran, ayat yang dihasilkan oleh kanak-kanak di dalam bandar ialah ayat penyata (4.85 perkataan), ayat tanya (4.41 perkataan), ayat seruan (4.18 perkataan) dan ayat perintah (4.19 perkataan). Manakala kanak-kanak di luar bandar pula ialah ayat penyata (4.40 perkataan), ayat tanya (4.19 perkataan), ayat seruan (4.72 perkataan), dan ayat perintah (4.29 perkataan). Penghasilan binaan ayat pula, dapatan menunjukkan kebanyakan kanak-kanak dalam kajian ini, menghasilkan ayat yang berstruktur Frasa Nama + Frasa Kerja dan Frasa Nama + Frasa Adjektif.

Selain itu, taraf sosioekonomi menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan dengan jenis ayat yang dihasilkan oleh kanak-kanak prasekolah. Dapatan juga menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara kanak-kanak di dalam bandar dengan luar bandar dalam menghasilkan ayat penyata (X2 = 5.59) dan ayat tanya (X2 = 30.44) tetapi tidak terdapat hubungan yang signifikan dalam ayat seruan dan ayat perintah. Secara keseluruhan pemerolehan dan penguasaan sintaksis kanak-kanak prasekolah merangkumi pelbagai jenis ayat.

Mereka berkebolehan menghasilkan jenis-jenis ayat bahasa Melayu terutamanya jenis ayat penyata, ayat tanya dan ayat seruan dengan mudah berbanding ayat perintah. Kesimpulannya, didapati lokasi tempat tinggal, kedudukan taraf sosioekonomi keluarga dan pendedahan serta rangsangan merupakan agen yang mempengaruhi pemerolehan dan penguasaan sintaksis kanak-kanak prasekolah.