Maklumat Jurnal

Penjabaran Semiotik Dalam Puisi-Puisi Suhaimi Haji Muhammad

Penulis :
Mohamad Shaidan
Penyelia :
Kamaruzzaman Abdul Kadir
Institusi :
Universiti Putra Malaysia
Jenis Dokumen :
Masters
Tarikh Isu :

Abstrak :

Kajian ini merupakan penelitian terhadap 21 buah kumpulan puisi Suhaimi Haji Muhammad melalui pendekatan semiotik yang dikemukakan oleh Charles Sanders Peirce.

Semiotik atau ilmu tanda melihat sesuatu, termasuk bahasa sebagai sistem tanda dan manusia dalam kehidupannya dikelilingi oleh tanda dan berfikir dalam tanda. Peirce dalam teori semiotiknya mengkategorikan tiga jenis tanda yang dinamakannya sebagai simbol, indeks, dan ikon. Setiap jenis tanda ini mempunyai ciri-cirinya yang menjadi syarat penting membezakan antara satu tanda dengan tanda yang lain.

Berdasarkan tiga jenis tanda semiotik inilah puisi-puisi Suhaimi Haji Muhammad dikaji. Kajian ini juga membuktikan bahawa puisi-puisi yang sukar difahami maknanya, dapat digali dan dihuraikan maknanya melalui pendekatan semiotik. Ini menunjukkan semiotik merupakan pendekatan yang sesuai dan tepat untuk diterapkan dalam karya-karya yang sukar difahami.

Hasil kajian pula menunjukkan puisi-puisi Suhaimi Haji Muhammad lebih banyak menggunakan tanda simbol daripada tanda indeks atau ikon. Banyaknya tanda simbol dalam puisi-puisi Suhaimi Haji Muhammad menjadi satu daripada faktor puisi-puisinya sukar difahami. Hal ini demikian kerana tanda simbol lebih menuntut pemikiran daripada pembaca untuk memahami makna puisi-puisinya.

Dengan memahami tanda simbol terlebih dahulu, baharulah makna puisi dapat difahami. Tanda indeks yang digunakan oleh Suhaimi pula berperanan memperkaya dan memperluas pandangan pembaca tentang hidup dan kehidupan ini. Tanda ikon yang digunakannya pula mempunyai daya estetik yang tinggi dan dapat menarik pembaca.