Maklumat Jurnal

Garis Panduan Reka Bentuk Untuk Meningkatkan Kebolehgunaan Tapak Web

Penulis :
Muhammad Ihsan Lim Abdullah
Penyelia :
Professor Madya Hj. Mohd. Hasan Selamat
Institusi :
Universiti Putra Malaysia
Jenis Dokumen :
Masters
Tarikh Isu :

Abstrak :

Dewasa ini, banyak tapak web mempunyai reka bentuk yang buruk.

Ini merupakan masalah yang serius kerana ianya akan membuang masa pengguna, membantutkan penerokaan, menyumbangkan kepada kesesakan pada jaringan, dan menjejaskan fungsi web sebagai medium penyebaran maklumat. Maka antara muka grafik pengguna web yang lebih baik diperlukan. Kajian ini mencadangkan pendekatan mengimplimentasikan garis panduan untuk membaiki reka bentuk antara muka pengguna web.

Garis panduan yang dicadangkan dibina daripada analisis dan rumusan daripada 14 garis panduan yang terdapat secara dalam talian di internet. Garis panduan ini diimplimentasikan untuk mereka bentuk semula satu pakej pembelajaran berasaskan web yang dipilih. Bagi melihat keberkesanan implementasi garis panduan ini, kedua-dua pakej telah diuji menggunakan kaedah penilaian heuristik dengan mengunakan khidmat 30 orang penilai.

Keputusan penilaian heuristik menunjukkan bahawa pakej yang direka bentuk semula menggunakan garis panduan mempunyai kebolehgunaan yang lebih tinggi daripada pakej asal. Ini berdasarkan kepada saiz fail yang jauh lebih kecil, jumlah masalah kebolehgunaan yang kurang, dan nilai mata keseriusan masalah kebolehgunaannya lebih rendah berbanding dengan pakej asal. Keputusan ini mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi di mana analisis perbezaan dapatan kajian oleh pemecahan kumpulan penilai kepada dua kumpulan menunjukkan suatu keseragaman keputusan di mana penilai yang kurang pakar memberikan hasil penilaian heuristik yang lebih rendah daripada penilai yang mempunyai tahap kepakaran yang lebih tinggi.

Tambahan pula terdapat persetujuan yang kuat di antara keseluruhan penilai terhadap tahap keseriusan masalah. Maka dapat disimpulkan bahawa garis panduan reka bentuk yang dibina boleh digunakan untuk membaiki reka bentuk antara muka pengguna web dan sekaligus meningkatkan kebolehgunaan tapak web.